PETUA MENJADI PELAJAR CEMERLANG
Apa kata kita renungkan kembali beberapa petua atau
tips kejayaan yang telah Allah SWT titipkan di permulaan surah
Al-Mu'minun, surah yang ke-23 di dalam lembaran Al-Quran.
01.Keyakinan, kepercayaan and keimanan
kepada Allah SWT
"Sesungguhnya berjayalah orang-orang
yang beriman." [23:1]
Iman dan kejayaan disebut oleh Allah SWT dalam ayat
yang sama. Maka imanlah faktor utama kejayaan. Dan keyakinan yang tinggi inilah
yang akan melahirkan sikap positif yang bakal disebutkan dibawah.
02.Fokus, bersungguh-sungguh, sepenuh hati
"iaitu orang-orang yang khusyuk dalam
solatnya." [23:2]
Lakukan satu-satu perkara dalam satu-satu masa. Jangan
mencapah dan melayang fikiran ke sana ke mari. Lakukan dengan sepenuh
hati, bukan sambil lewa.
03.Prioriti. Mengutamakan apa yang utama.
"dan orang-orang yang menjauhkan diri dari
lagha (perbuatan dan perkataan yang tidak berguna)." [23:3]
Kebiasaannya dalam menghadapi musim peperiksaan yang
penuh tekanan, kita cenderung untuk berehat dan menenangkan minda
dengan hiburan, menonton drama, bersembang di Facebook dan seumpanya
sehinggakan selalu sahaja melebihi daripada masa rehat yang telah kita
peruntukkan.
Sebaik-baiknya kita mengoptimumkan penggunaan masa
untuk belajar, dan mengisi masa rehat kita dengan perkara-perkara yang
berfaedah seperti membasuh, melipat atau menggosok baju, bersenam untuk
melancarkan perjalanan darah di dalam badan dan bermacam-macam lagi
yang anda sendiri lebih sedia maklum.
Namun, sebaik-baiknya kita gunakan masa rehat itu
untuk mengambil wudu', melakukan solat sunat dan membaca Al-Quran. InsyaAllah
apabila kita lebih rapat dengan Allah SWT, jiwa kita akan lebih tenang dan ia
akan banyak membantu dalam usaha kita mengulangkaji pelajaran.
Kita dikehendaki menghindarkan diri dari perbuatan
mengumpat pensyarah/guru kerana perkara-perkara sebegini tidak
mendatangkan faedah kepada masa depan anda, tidak menambahkan markah untuk
kertas peperiksaan yang bakal/telah diduduki, malah boleh mendatangkan dosa dan
kemurkaan Allah SWT.
04.Prihatin sesama kita
"dan orang-orang yang
menunaikan zakat." [23:4]
Walaupun sedang berada di saat-saat genting, janganlah
kita bersikap terlalu mementingkan diri, dan mengabaikan kawan-kawan yang lebih
susah di sekeliling kita. Kongsilah apa yang termampu, samada ilmu,
kertas-kertas soalan tahun lepas dan lain-lain. Sharing is caring.
05.Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan
"dan orang-orang yang menjaga kehormatannya.
kecuali terhadap isteri-isteri mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka
mereka (isteri dan hamba) dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari
dibalik itu, mereka itulah orang-orang yang melampaui batas." [23:5,6,7]
Janganlah kita menggunakan alasan belajar untuk
melanggari batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya
dengan studi berdua-duan, kemudian pulang ke rumah berpimpin tangan, atau asal
tertekan je mesti nak bergayut atau berchatting dengan kawan
lelaki/perempuan anda.
Padahal Allah SWT kan sentiasa ada, sentiasa
melindungi dan sentiasa menolong jika kita mencari dan meminta pada-Nya.
06.Jujur, amanah
" dan orang-orang yang memelihara
amanah-amanah dan janjinya."[23:8]
Bukankah kita telah berjanji dengan pihak penaja dan
ibu bapa kita untuk belajar bersungguh-sungguh? Lebih penting lagi, bukankah
kita telah berjanji dengan Allah SWT untuk memanfaatkan peluang kehidupan
sebagai seorang pelajar yang telah dipinjamkan-Nya kepada kita sebagai
medan untuk kita mengutip ilmu, pengalaman dan pahala buat bekalan
di akhirat sana?
Elakkan menipu ketika peperiksaan. Andai penjaga
peperiksaan meminta kita berhenti menulis kerana masa sudah tamat, jangan pula
kita terus menulis. Sebaliknya sebutlah "Bismillahi tawakkaltu 'ala Allahi
wala haula wala quwwata illa billahil 'azim."
07.Tepati waktu
"dan orang-orang yang memelihara
solatnya." [23:9]
Konsep yang boleh diambil dalam konteks kehidupan
seorang pelajar Muslim ialah supaya sentiasa belajar dengan
berdisiplin, menepati masa, tidak berlengah-lengah, menjaga kualiti dan
produktiviti harian kita. Jika sebelum ini kita diingatkan supaya berhenti
menulis apabila tamat masa peperiksaan, kita juga perlu memulakan perjuanganan
kita dalam pelajaran dan peperiksaan seawal yang mungkin. Memelihara solat lima
kali sehari setiap hari juga mengajar kita untuk tidak berputus asa atau
berpatang arang di pertengahan jalan.
Namun janganlah kita hanya mengaplikasikan
konsep-konsep ini untuk akademik semata-mata. Penekanan utama dalam ayat
tersebut supaya kita menjaga hubungan kita dengan Allah SWT kerana kita akan
kembali mengadap-Nya dengan amal-amal kita, bukan dengan berapa gulung ijazah
yang berjaya kita perolehi. Belajar dan ijazah hanyalah alat untuk kita
mencapai keredhaan Allah SWT dan merebut peluang mewarisi syurga-Nya.
" Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi.
Iaitu yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal
didalamnya." [23:10,11]
" ....Maka di antara manusia ada yang berdoa: 'Ya
Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia.' Dan tiadalah baginya bahagian di
akhirat."[2:200]
"Dan di antara mereka ada orang yang
berdoa: Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di
akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka." [2:201]
"Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian
dari apa yang mereka usahakan dan Allah sangat cepat
perhitungannya." [2:202]
No comments:
Post a Comment